Ucapan Sempena Tahun Baru 2010

"Assalamualaikum w.b.t

Setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan ke hadrat Allah Taala, Tuhan Seru Sekalian Alam, kerana dengan limpah rahmat, izin dan kurnia-Nya, maka kita telah berpeluang untuk bertemu dan berjumpa pada pagi yang berbahagia ini. Majlis yang diadakan pada hari ini amatlah penting, memandangkan kita baru sahaja melangkah masuk ke tahun baru 2010 Masihi dan 1431Hijrah. Kita masuki tahun baru ini dengan penuh debaran, kerana kita masih belum tahu apakah cabaran, dugaan dan ujian yang akan sama- sama kita hadapi dan tempuhi. Namun begitu, dengan semangat yang telah ditekadkan, ditambah pula perencanaan yang telah dimuktamadkan secara strategik, Insya-Allah, kita sekalian, warga MARSAH sentiasa bersedia menghadapi apa jua cabaran pada tahun 2010 ini. Semoga tahun lepas memberikan kita semangat serta kekuatan untuk menempuh dan menghadapi tahun baru ini.

IMBASAN PENCAPAIAN 2009

Bermula dengan peratus kelulusan akademik meningkat sepanjang tahun 2009 merangkumi semua pelajar semester 1,3 dan 5.  Peratusan adalah mengikut bidang seperti berikut:

1. Syariah Islamiah     92%
2. Usuluddin                94%
3. Tahfiz MARSAH    85%
4. Tahfiz JAKIM         96%
5. Pendidikan Islam    100%

Kemudian, peratusan penerimaan anugerah dekan setiap semester adalah seperti berikut:

1. Semester 1- 22% bersamaan 63 orang pelajar
2. Semester 2- 35% bersamaan 104 orang pelajar
3. Semester 3- 40% bersamaan 155 orang pelajar

Manakala jumlah pelajar yang berada di luar Negara adalah seramai 16 orang.

1. Jordan - 1 orang
2. Mesir - 2 orang
3. Araniru, Acheh - 11 orang
4. IAIN Jambi - 2 orang

Bagi pelajar yang telah berjaya menamatkan pengajian ialah seramai 40 orang. MARSAH telah menambah bilangan kakitangan sebagai persediaan untuk memperkukuhkan asas dan menjana kecemerlang di MARSAH pada masa akan datang. Kepada kakitangan yang baru dan lama perlulah bersama-sama berganding bahu untuk menjalankan tugan dan tanggungjawab dengan lebih cemerlang, tulus, amanah ,ikhlas serta melakukan pekerjaan dengan lebih baik demi kepentingan MARSAH dan kita semua.

MEMPERKUKUH PEMAHAMAN DAN PENGHAYATAN TERHADAP VISI DAN MISI MARSAH

Saya ingin menarik perhatian dan refresh kembali ingatan tuan-tuan dan puan-puan kepada apa yang boleh saya anggap sebagai tonggak agung MARSAH. Selalu kita sebut dan war-warkan dan perlu juga kita fahami dan hayati secara mendalam iaitu Visi, Misi, Falsafah dan Motto MARSAH

'Visi:  Menjadikan institut ini sebagai sebuah institute pengajian tinggi  Islam dalam pelbagai ilmu pengetahuan'

'Misi:  Melahirkan ilmuan muslim mukmin dan mengembangkan dakwah Islamiah untuk kebahagian ummah'

Walaupun usia MARSAH sudah melebihi 10 tahun penubuhannya, namun kita mempunyai visi dan misi untuk menjadi universiti pengajian tinggi Islam yang bertaraf dunia serta melahirkan ilmuan dan mengembangkan dakwah Islamiah. Justeru, untuk mencapai taraf dunia ini;-

1. Maka segala urusan yang kita jalankan mestilah mempunyai kualiti yang tinggi
2. Mentaliti kita mestilah mentaliti kelas pertama;
3. Budaya kerja kita mestilah budaya kerja profesional;
4. Kita mestilah mampu menguasai Bahasa Arab, Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dengan baik;
5. Akhlak dan tingkah laku kita mestilah menggambarkan imej kita sebagai pelajar dan penjawat awam yang profesional;
6. Pengajaran dan pembelajaran kita mestilah bermutu tinggi dan berkesan, dan universiti kita mestilah mempunyai jaringan kerjasama yang erat dan rapat dengan instititusi-institusi lain di seluruh dunia.

Justeru, pada tahun 2010 ini, saya mengharapkan anjakan paradigma yang besar dalam cara kita bekerja dan berfikir.

PELAJAR CEMERLANG, INSTITUSI GEMILANG

Pelajar memainkan peranan yang penting di dalam membangunkan sesebuah institusi.  Oleh yang demikian, pada tahun2010 ini, para pelajar hendaklah:-

1.Memberi komitmen yang tinggi untuk tampil cemerlang di dalam bidang akademik.
2. Meningkatkan prestasi pembelajaran dan pengurusan masa yang baik.
3. Pelajar merupakan pemimpin masa akan datang yang akan mencorak dan mewarnakan masa depan umat, Negara dan menjadi benteng kepada agama Islam yang tercinta.

Sebagai sebuah IPTS, tumpuan utama kita adalah menyediakan program akademik yang berkualiti supaya kita dapat menjana graduan yang holistic dan berdaya saing.

HARAPAN SEMPENA TAHUN BARU 2010

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian;

Pada 1 Januari 2010 , telah genap 13 tahun penubuhan MARSAH. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puansekalian di atas komitmen, sumbangan dan khidmat yang telah diberikanoleh tuan-tuan dan puan-puan sekalian pada tahun 2009. Tidak ketinggalan, saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada anakanda-anakanda siswa dan siswi yang telah memberikan kerjasama erat kepada pengurusan MARSAH  ke arah menjana kecemerlangan. Pengurusan MARSAH akan melakukan yang terbaik untuk membangunkan ilmu dan kepakaran anakanda siswa dan siswi sekalian.

Secara peribadi saya berpandangan bahawa tahun 2010 ini akan menjadi tahun yang amat mencabar buat kita. Kehidupan ini ibarat roda, sekejap di atas dan sekejap di bawah. Kata orang tua-tua, "Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Saya akur dengan hakikat bahawa dalam usaha untuk memajukan Institusi ini, saya tidak dapat memuaskan hati semua orang. Saya menyedari bahawa pasti ada rintangan dan halangan kepada setiap usaha yang baik dan murni.

Saya percaya sebagai manusia, kita punyai banyak kelemahan. Yang pentingnya, kita sentiasa berusaha ke arah mengatasi kelemahan yang ada dan membina kekuatan. Kita perlu tanya diri kita tentang nawaitu kita bekerja. Adakah kita berkhidmat kerana manusia atau adakah kita berkhidmat kerana Allah Taala? Jika seseorang berkhidmat kerana Allah Taala untuk organisasi, maka dia tidak gentar dikritik atau dicemuh kerana apa yang diharapkan ialah keredhaan Allah.

Begitulah kita sekalian sebagai penjawat awam di Universiti ini, kita niatkan khidmat bakti kita kerana Allah Taala untuk kemajuan dan kesejahteraan agama, bangsa dan negara tercinta. Kukuhkan integriti, tingkatkan akauntibiliti, tinggikan pekerti, hayati etika murni. Itulah falsafah "Memperkukuh Asas, Menjana Kecemerlangan".

Semoga pada tahun 2008 ini,Allah  SWT akan terus melimpahkan rahmat peliharaan-Nya ke atasMARSAH. Saya juga berdoa agar kita sekalian terusdiberikan kekuatan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada MARSAH ini. Memperkukuh asas, menjana kecemerlangan!

Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih.

Petikan ucapan : Ketua Eksekutif MARSAH