IPTIM 2018 : UIAM dinobatkan juara keseluruhan

 

Karnival Amal Islam (IPTIM) 2018 Peringkat Asean menyaksikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) merangkul juara keseluruhan mengetepikan 11 buah kontinjen yang lain. Antara kontinjen yang menghantar pasukan adalah dari Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH), Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB), Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Kolej Profesional Baitumal Kuala Lumpur (KPBKL), International Islamic College (IIC), Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS). Sebanyak 27 acara dipertandingan pada karnival kali ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Johor, YB. Tuan Hj. Aminolhuda bin Hj. Hassan selaku wakil rasmi YAB Menteri Besar Johor berkata, penganjuran Karnival Amal Islami (IPTIM) 2018 peringkat ASEAN ini adalah kali pertama penganjurannya di peringkat ASEAN. Ini memberikan gambaran yang jelas bahawa Persatuan Institusi Pengajian Tinggi Islam Malaysia (IPTIM) sangat komited dalam memperkembang dan memperluas jaringannya melalui program-program ilmiah seperti penganjuran karnival ini.

"Program dwitahunan ini bertujuan memupuk dan memperatkan ukhwah dalam kalangan ahli IPTIM dan seterusnya berkongsi ilmu, menjana aliran pemikiran, mencetus anjakan paradigma demi melestarikan modal insan.

"Pendedahan seperti ini diharap dapat memupuk sifat positif, inovatif, kreatif serta daya saing dalam kalangan peserta sebagai persediaan ke arah menjadi pemimpin Islam yang unggul pada masa hadapan. Bertepatan dengan tema Karnival Amal Islami pada kali ini iaitu “MAHASISWA ISLAM MENDEPANI REVOLUSI INDUSTRI 4.0”, menunjukkan bahawa mahasiswa Islam mesti mempunyai benteng yang sangat kuat dalam menempuh arus kepesatan teknologi dan seterusnya mampu mengangkat peranan mahasiswa sebagai Ilmuwan terulung,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Karnival Amal Islami (IPTIM) 2018 peringkat ASEAN.

Pendaftar merangkap Pemangku Ketua Eksekutif Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH), Ustaz Muhammad Sanusi Bin Md. Noh berkata, Karnival Amal Islami pada kali ini bakal menyaksikan beberapa acara baharu iaitu Pertandingan Tarhim, Azan dan Iqamah dan Pertandingan Berzanji.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh warga kerja MARSAH dan urusetia pertandingan kerana gigih serta komited dalam membuat perancangan, persediaan dan seterusnya melaksanaan penganjuran Karnival Amal Islami (IPTIM) 2018 Peringkat ASEAN.

"Juga tidak lupa ucapan terima kasih kepada semua penaja dan penyumbang yang turut memberi sokongan bagi menjayakan Karnival Amal Islami 2018 ini. Ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor dan Majlis Agama Islam Johor yang sentiasa memberikan sokongan penuh kepada semua program yang dianjurkan oleh Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH),"katanya.

Pada tahun 2020 Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) telah dipilih menjadi tuan rumah untuk edisi akan datang.

Persidangan Pengetua-Pengetua Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Peringkat Kebangsaan Kali Ke – 35

28 Oktober 2019-Persidangan Pengetua-Pengetua Maahad Tahfiz al-Quran Negeri Peringkat Kebangsaan kali ke-35 telah diadakan di Hotel Kinta Riverfront Ipoh, Perak. Persidangan yang diadakan secara dua tahun sekali ini bermula pada 24-25 Oktober 2018. Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan 'Adat Melayu Perak (MAIPk), YBhg. Tan Sri Dato’ Dr. Wan Mohd Zahid bin Mohd Noordin telah merasmikan majlis tersebut.Persidangan kali ini memfokuskan halatuju pendidikan tahfiz di Malaysia dimana ianya ini semakin berkembang pesat dan mendapat tempat di kalangan masyarakat pada hari ini

Pihak MARSAH diwakili Ketua Jabatan Tahfiz Al-Quran, Ustaz Haji Omar Bin Mokti dan Ustaz Hazwan Bin Nor Hashim.Persidangan dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran dan seterusnya bacaan doa oleh Ustaz Mokhamad Ngifni Bin Abdul Basir. Manakala ucapan aluan disampaikan oleh YBhg. Dato’ Haji Mohd Yusop Bin Haji Husin, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak. Disamping itu Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, YBhg. Datuk Mohamad Nordin Bin Ibrahim turut menyampaikan ucapan.Pada hari terakhir persidangan, para peserta dibawa melawat ke Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar, Perak.

Kursus Pedagogi Pengajaran dan Penyeliaan Praktikum

23 Oktober 2018 – Jabatan Pendidikan dan Pengajian Umum (JPPU) MARSAH mengadakan Kursus Pedagogi Pengajaran dan Penyeliaan Praktikum 2018 bagi pensyarah untuk memberi peluang kepada mereka menjadi penyelia praktikum bagi pelajar Diploma Pendidikan Islam (DPI). Dalam kursus ini mereka didedahkan mengenai cara menyelia pelajar DPI di sekolah yang melibatkan proses pengajaran dan pembelajaran, pengurusan bilik darjah, organisasi sekolah dan interaksi guru dan pelajar. Kursus pedagogi ini dijalankan agar penyelia dapat belajar bagaimana membimbing pelajar praktikum menjadi seorang guru agama di sekolah agama Johor menggunakan kaedah yang betul dan terbaik.

Kursus ini telah dirasmikan oleh Pengarah Pusat Tafaqquh & Profesionalisma, Encik Mohd Khairul Annuar bin Mohd Satar. Dalam ucapannya beliau berkata, kursus pedagogi ini amat bermanfaat kerana ianya memberi nilai tambah kepada seseorang pensyarah.

“Tanggungjawab pensyarah bukan sahaja semata-mata mengajar di dalam kelas tetapi perlu mengikuti kursus-kursus bagi menimba ilmu pengetahuan dan juga perlu membentangkan kertas kerja di peringkat universiti awam atau swasta sesuai dengan peredaran masa.”

Kursus ini dijalankan selama dua hari iaitu pada 23 Oktober 2018 sehingga 24 Oktober 2018. Taklimat untuk kursus pedagogi ini disampaikan oleh Hajah Besah Mohd Rasim dan Ust. Mohd Fadzil Jamal, pensyarah Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH).

Perbincangan JTQA bersama JAINJ

10 Oktober 2018 - Perbincangan Johor Tahfiz Quality Assurance (JTQA) bersama Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).Pelan tindakan Jaminan Kualiti Tahfiz Johor (JTQA) akan dilaksanakan bagi menjamin kualiti pusat tahfiz di Johor, sekali gus memastikan sistem pentadbiran institusi itu lebih tersusun dan sistematik. Sesi taklimat telah disampaikan oleh Pendaftar MARSAH, Ustaz Muhammad Sanusi B. Md Noh di Bilik Mesyuarat Utama di Blok A.