M-FEST 1.0 pertama kalinya dianjurkan

19 Januari 2017- Penganjuran Festival Mahasiswa Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) 1.0 (M-FEST 1.0) adalah satu medium pengenalan gerak kerja Majlis Perwakilan Mahasiswa Marsah.

Pengarah Programnya, Nur Mujahiddin bin Hamsan berkata, program ini adalah merupakan satu medan penting untuk memperkenalkan Institusi Pengajian Tinggi ini kepada masyarakat sekitar. Festival Mahasiswa ini merupakan program pertama yang dianjurkan oleh MPMM dengan kerjasama Kelab-Kelab Akademik.

Beliau berkata, matlamat festival ini bukan sahaja dapat melatih ciri-ciri kepimpinan dan pengurusan, malah mewujudkan ikatan silaturrahim melalui program dan aktiviti yang akan dijalankan.

"Ia juga dapat membina jaringan dan hubungan dengan agensi-agensi kerajaan dan swasta serta sekolah-sekolah kebangsaan dan menengah di sekitar Johor Bahru. Di samping itu juga secara langsung mempromosikan MARSAH dengan lebih luas dengan sasaran awal untuk pengambilan pelajar lepasan SPM ambilan mei 2017."

M-FEST 1.0 mensasarkan kehadiran melebihi 2500 pengunjung dan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik yang dianjurkan, antaranya pertandingan nasyid solo, tarannum, khat, khutbah, kompang, mewarna, tradisional, permainan PES dan aktiviti memanah.

Nur Mujahiddi berkata, M-FEST 1.0 menerapkan konsep aktiviti pembelajaran sambil berhibur dan melahirkan identiti mahasiswa yang bukan sahaja berilmu tetapi mampu mempraktik serta mengadaptasikan ilmu tersebut dalam bentuk yang pelbagai secara santai agar lebih mudah menarik generasi muda.

"Selain itu, hiburan yang disediakan bukan hanya hiburan kosong, malah terdapatnya pengisian menerusi penganjuran program seperti Zikir Malam bersama Prof Taufiq Yap Yun Hin, Forum Santai Malam bersama Daie Wan Dazrin dan MARSAH Berselawat bersama Habib Najmuddin bin Othman Al Khared dan Sahibus Samahah Dato' Hj M.Tahrir bi Dato' Kiyai Hj. Samsudin," katanya.

Info terkini juga boleh didapati menerusi laman Facebook iaitu www.facebook.com/Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH)