Kursus Pedagogi Pengajaran dan Penyeliaan Praktikum

23 Oktober 2018 – Jabatan Pendidikan dan Pengajian Umum (JPPU) MARSAH mengadakan Kursus Pedagogi Pengajaran dan Penyeliaan Praktikum 2018 bagi pensyarah untuk memberi peluang kepada mereka menjadi penyelia praktikum bagi pelajar Diploma Pendidikan Islam (DPI). Dalam kursus ini mereka didedahkan mengenai cara menyelia pelajar DPI di sekolah yang melibatkan proses pengajaran dan pembelajaran, pengurusan bilik darjah, organisasi sekolah dan interaksi guru dan pelajar. Kursus pedagogi ini dijalankan agar penyelia dapat belajar bagaimana membimbing pelajar praktikum menjadi seorang guru agama di sekolah agama Johor menggunakan kaedah yang betul dan terbaik.

Kursus ini telah dirasmikan oleh Pengarah Pusat Tafaqquh & Profesionalisma, Encik Mohd Khairul Annuar bin Mohd Satar. Dalam ucapannya beliau berkata, kursus pedagogi ini amat bermanfaat kerana ianya memberi nilai tambah kepada seseorang pensyarah.

“Tanggungjawab pensyarah bukan sahaja semata-mata mengajar di dalam kelas tetapi perlu mengikuti kursus-kursus bagi menimba ilmu pengetahuan dan juga perlu membentangkan kertas kerja di peringkat universiti awam atau swasta sesuai dengan peredaran masa.”

Kursus ini dijalankan selama dua hari iaitu pada 23 Oktober 2018 sehingga 24 Oktober 2018. Taklimat untuk kursus pedagogi ini disampaikan oleh Hajah Besah Mohd Rasim dan Ust. Mohd Fadzil Jamal, pensyarah Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH).