Muhammad Zaid penerima Anugerah Ketua Jabatan Tahfiz dan Anugerah Rektor MARSAH

PENERIMA Anugerah Ketua Jabatan Tahfiz al-Quran wa al-Qiraat dan Anugerah Rektor Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) Muhammad Zaid Harithah Azeman bergambar bersama-sama guru al-Qurannya, Mohd Nazir Kadir selepas Majlis Istiadat Konvokesyen  Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) ke-19 di Pusat Islam Iskandar di sini hari ini.

1 Ogos 2019 - Muhammad Zaid Harithah Azeman merupakan graduan yang telah menerima Anugerah Ketua Jabatan Tahfiz al-Quran wa al-Qiraat dan Anugerah Rektor Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) bersempena Istiadat Konvokesyen MARSAH kali ke-19.

Berpegang kepada 3 prinsip utama dalam kehidupan menjadikan beliau salah seorang graduan cemerlang Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) dengan pencapaian Purata Nila Gred Kumulatif (CGPA) 3.99.

“ Selama saya belajar dari peringkat sekolah sehingga sekarang, saya berpegang kepada 3 prinsip sebagai kunci kejayaan saya. Pertama ialah menjaga Solat Fardhu 5 waktu secara berjemaah kerana Allah akan jaga urusan kita apabila kita menjaga hubungan dengan Allah. Kedua, menjadikan harapan Ibu Bapa sebagai semangat untuk mencapai yang terbaik dalam apa jua bidang. Ketiga, mengutamakan Akhlak melebihi Ilmu kerana keberkatan sesuatu ilmu diperoleh melalui akhlak terutamanya kepada guru atau pensyarah “

Anak ke-4 kepada pasangan Azeman Mustafa dan Liha Husrin juga berkata, semestinya doa dan dokongan kedua ibu bapa menjadi tulang belakang buat diri sehingga mampu untuk berada pada tahap ini “

Selain dorongan kedua ibu bapa, pelajar   cemerlang lepasan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Johor Bahru (SMKAJB) itu menyatakan bahawa motivasi dan sokongan berterusan oleh pensyarah al-Quran beliau, Mohd Nazir Kadir turut menjadi pemangkin kepada kejayaan tersebut. “

Bergelar sebagai graduan Diploma Tahfiz al-Quran wa al-Qiraat, beliau bercita-cita untuk menjadi seorang pensyarah seperti ayahnya yang merupakan seorang pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“ Saya bercita-cita untuk menjadi seorang pensyarah dalam bidang al-Quran yang mampu mengajar dan menyebarkan ilmu al-Quran dalam kalangan masyarakat. “

Anak kelahiran Skudai, Johor itu sedang dalam proses untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana muda dalam bidang al-Quran dan Qiraat di Jordan.

Majlis Istiadat Konvokesyen MARSAH kali ke-19 yang berlangsung di Pusat Islam Iskandar tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvantri sebagai wakil rasmi Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal.