Senarai Kategori

Peta Lokasi Kampus

Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH)
Jalan Heman, Kampung Aman
80350 Johor Bahru, Johor Darul Ta'zim.
Malaysia

Pengenalan

Sistem pendidikan Islam di negeri Johor Darul Ta’zim bermula sejak tahun 1923 lagi. Ianya terus berkembang hingga sekarang melalui sekolah agama kerajaan negeri Johor. Kemudian satu sistem pendidikan agama di peringkat rendah yang lebih sistematik telah diperkenalkan melalui penubuhan Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB).

Seterusnya pendidikan agama di peringkat menengah juga dibangun dan dikembangkan. Boleh dikatakan sistem pendidikan agama di negeri Johor baik di peringkat rendah mahu pun di peringkat menengah telah pun mantap dan berjaya mengeluarkan pelajar yang berkelayakan untuk melanjutkan pengajian di peringkat tinggi. Bagi menampung permintaan pelajar lepasan menengah untuk melanjutkan pengajian di peringkat tinggi, MARSAH telah ditubuhkan sebagai kesinambungan dan pelengkap kepada sistem pendidikan agama Islam di negeri Johor.

Sejarah awal Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) sebagai pusat pengajian tinggi Islam dan bahasa Arab telah wujud pada tahun 1997 apabila Majlis Agama Islam Johor telah membuat keputusan meningkatkan lagi taraf pengajian di Maahad Johor kepada pengajian tinggi Islam dengan mengekalkan kedudukan Maahad Johor sebagai sekolah menengah tinggi dan MARSAH sebagai IPT.

Pada 17 Jun 1997 satu memorendem persefahaman dalam bidang akademik dan kebudayaan di antara Majlis Agama Islam Johor dan Universiti Al-Azhar telah ditandatangani bagi membolehkan pusat pengajian ini ditubuhkan untuk mengendalikan program dan kursus-kursus KuliahAl-Dirasat Al-Islamiah Wa Al-Arabiah Universiti Al-Azhar di MARSAH.

Pada 4 November 1997 MARSAH telah memulakan kursus pengajian Syariah Islamiah dengan bilangan pelajar seramai 42 orang bertempat di bangunan Maahad Johor. Pada 5 Julai 2000 MARSAH mendapat pengiktirafan dari Universiti Al-Azhar bagi pengajian Diploma Syariah Islamiah dan Usuluddin.

Sejarah Penubuhan

Penubuhan Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) merupakan cetusan idea sekumpulan guru-guru kanan Ma’ahad Johor yang percaya bahawa satu usaha perlu dibuat bagi meneruskan kesinambungan Sistem Pendidikan Agama Negeri Johor dapat direalisasikan dengan menaiktaraf pengajian di Ma’had Johor kepada pengajian kuliah dengan mengadakan program kuliah berkembar dengan Universiti Al-Azhar.

Berdasarkan maklumat yang diterima dari rakan-rakan seperjuangan bahawa Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman telah menandatangani satu Perjanjian Persefahaman dengan Universiti Al-Azhar Al-Syarif yang membawa kepada penubuhan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) yang menjalankan program-program berkembar dalam bidang-bidang Syariah Islamiah, Usuluddin dan Bahasa Arab di mana graduan IPT tersebut iaitu INSANIAH akan menyambung pengajian mereka di tahun akhir di Universiti Al-Azhar.

Percaya bahawa langkah ini dapat memberikan manfaat kepada anak-anak Negeri Johor di samping dapat membela pelajar-pelajar yang berada dalam bidang pengajian agama, guru-guru kanan ini memajukan pandangan mereka kepada Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Johor yang ketika itu diterajui oleh YB Dato’ Hj M.Tahrir bin Dato’ Hj Shamsuddin. Guru-guru yang berjasa ini adalah:-

  1. Ustaz Hj Hudzairi bin Hj Jabar
  2. Datin Hjh Rohana binti Mohd Yassin
  3. Ustaz Hj Mohamed Salleh bin Sanwan

Mengambil kesempatan lawatan Rektor Universiti Al-Azhar Al-Syarif ke Ma’ahad Johor atas undangan Majlis Agama Islam Negeri Johor pada 15 Jun 1997 Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Johor telah memajukan permohonan kepada Rektor Universiti Al-Azhar Al-Syarif untuk menaiktaraf pengajian di Ma’ahad Johor dengan mengadakan program kuliah berkembar dengan Universiti Al-Azhar Al-Syarif.

Berdasarkan kepada maklumbalas yang postif dari Universiti tersebut, YB Dato’ Hj Abdul Kadir bin Annuar, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam Negeri Johor pada ketika itu, mewakili YAB Menteri Besar Johor telah mengetuai rombongan kerajaan negeri untuk memeterai Perjanjian Persefahaman dengan Universiti Al-Azhar Al-Syarif di INSANIAH Kedah Darul Aman dan seterusnya menubuhkan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) bagi melaksanakan program kuliah berkembar dengan Fakulti Al-Dirasat Al-Islamiah Wal ‘Arabiah pada tahun 11 November 1997 dengan nama Pusat Pengajian Islam dengan Bahasa Arab (MARSAH) atau “Markaz al-Dirasat al-Islamiah wa al-‘Arabiah bi Wilayati Johor”. Nama ini melalui beberapa pertukaran yang akhirnya melihat kepada pendaftaran institusi ini di bawah Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dengan menggunakan nama “KOLEJ PENGAJIAN ISLAM JOHOR (MARSAH)” dan seterusnya mendapat akreditasi dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dalam kesemua kursus-kursus yang dijalankan pada tahun 2011.