Kursus Pedagogi Pengajaran dan Penyeliaan Praktikum

23 Oktober 2018 – Jabatan Pendidikan dan Pengajian Umum (JPPU) MARSAH mengadakan Kursus Pedagogi Pengajaran dan Penyeliaan Praktikum 2018 bagi pensyarah untuk memberi peluang kepada mereka menjadi penyelia praktikum bagi pelajar Diploma Pendidikan Islam (DPI). Dalam kursus ini mereka didedahkan mengenai cara menyelia pelajar DPI di sekolah yang melibatkan proses pengajaran dan pembelajaran, pengurusan bilik darjah, organisasi sekolah dan interaksi guru dan pelajar. Kursus pedagogi ini dijalankan agar penyelia dapat belajar bagaimana membimbing pelajar praktikum menjadi seorang guru agama di sekolah agama Johor menggunakan kaedah yang betul dan terbaik.

Kursus ini telah dirasmikan oleh Pengarah Pusat Tafaqquh & Profesionalisma, Encik Mohd Khairul Annuar bin Mohd Satar. Dalam ucapannya beliau berkata, kursus pedagogi ini amat bermanfaat kerana ianya memberi nilai tambah kepada seseorang pensyarah.

“Tanggungjawab pensyarah bukan sahaja semata-mata mengajar di dalam kelas tetapi perlu mengikuti kursus-kursus bagi menimba ilmu pengetahuan dan juga perlu membentangkan kertas kerja di peringkat universiti awam atau swasta sesuai dengan peredaran masa.”

Kursus ini dijalankan selama dua hari iaitu pada 23 Oktober 2018 sehingga 24 Oktober 2018. Taklimat untuk kursus pedagogi ini disampaikan oleh Hajah Besah Mohd Rasim dan Ust. Mohd Fadzil Jamal, pensyarah Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH).

Perbincangan JTQA bersama JAINJ

10 Oktober 2018 - Perbincangan Johor Tahfiz Quality Assurance (JTQA) bersama Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).Pelan tindakan Jaminan Kualiti Tahfiz Johor (JTQA) akan dilaksanakan bagi menjamin kualiti pusat tahfiz di Johor, sekali gus memastikan sistem pentadbiran institusi itu lebih tersusun dan sistematik. Sesi taklimat telah disampaikan oleh Pendaftar MARSAH, Ustaz Muhammad Sanusi B. Md Noh di Bilik Mesyuarat Utama di Blok A.

Lawatan Sambil Belajar daripada Madrasah Tahfiz Al-Iman

17 Oktober 2018 - Lawatan sambil belajar ke Madrasah Tahfiz Al-Iman Cawangan Taman Universiti dan Kota Tinggi disertai seramai 120 orang pelajar dan diiringi oleh guru pengiring iaitu
1. Ustaz Shahrul Hamzah - Mudir Maahad Tahfiz Al-Iman ,Kota Tinggi
2. Ustaz Ahlami Ihsan - Timbalan Mudir Maahad Tahfiz Al-Iman Kota Tinggi
3. Ustzah Ira Norliza Bt Muda - Penolong Kanan Mudir Madrasah Tahfiz Al-Iman Taman Universiti Skudai
4. Ustaz Hair Hanif B.Abdul Hamid - Setia Usaha Peperiksaan (SUP)
5. Ustazah Israa' Bt Abdelhamid - Ketua Guru Maahad Tahfiz Al-Iman Lilbanat

Sesi taklimat bermula pada jam 10.00 pagi di Dewan Besar 1 di Blok A. Para pelajar tidak melepaskan peluang mendapatkan maklumat berhubung peluang melanjutkan pengajian di Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH).

Lawatan Sambil Belajar daripada SMA Al-Khairiah Al-Islamiah, Mersing

17 Oktober 2018 - MARSAH menerima Lawatan Sambil Belajar daripada SMA Al-Khairiah Al-Islamiah, Mersing. Lawatan ini disertai seramai 40 orang pelajar dan 4 Orang Guru Pengiring. Ketua Guru Pengiring, Cikgu Nuurul Amira Razak berkata, lawatan ini bertujuan untuk mendedahkan dan meningkatkan motivasi pelajar dalam kehidupan dan dapat menambah pengetahuan pelajar tentang haluan kerjaya apabila telah menamatkan pembelajaran pada masa akan datang.

Dalam lawatan tersebut pihak sekolah telah diberikan taklimat berkaitan MARSAH dan peluang melanjutkan pengajian dalam bidang diploma dan sijil di Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH).